Rozman tak pernah isytihar bapa, adik pemegang saham LLPM

Rozman
Rozman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa diberitahu bahawa Datuk Rozman Isli tidak pernah mengisytiharkan kepentingan bapa serta adiknya selaku pemegang saham dalam Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM).

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL), Hida Jerman, 53, berkata, sekiranya ada pengisytiharan itu, beliau akan memasukkan nama bapa Rozman, Isli Siput dan adik lelakinya, Tony Noolan dalam minit Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan, LPL bertarikh 20 Nov 2017.

Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata, Rozman ada memaklumkan bahawa syarikat LLPM merupakan sebuah syarikat tempatan yang menjadi kebanggaan Labuan selain mempunyai pengurusan terbaik yang telah melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan aktifnya.

"Datuk Rozman turut menyatakan bahawa LP Multi Terminal Sdn Bhd merupakan syarikat paling berpotensi di antara syarikat LLPM dan Bintulu Port Sdn Bhd. Namun, beliau berpendapat syarikat itu (LP Multi) dan LLPM perlu dipanggil untuk membentangkan cadangan penuh masing-masing dan memberi taklimat kepada jawatankuasa tersebut (pembangunan dan pelaburan)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Labuan itu yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Menurut Hida, selepas ahli mesyuarat berbincang serta menyuarakan pendapat masing-masing, mereka bersetuju untuk syarikat LLPM dan LP Multi dipanggil memberi taklimat kepada jawatankuasa itu yang berlangsung di Hotel Hilton Sentral, Kuala Lumpur pada 11 Disember 2017.

"Semasa persetujuan dan keputusan itu dibuat, Datuk Rozman tidak ada mengisytiharkan kepentingannya dalam LLPM dan beliau berada di dalam mesyuarat sepanjang ia berlangsung," kata saksi.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi sama ada Rozman ada menyatakan beliau mempunyai kepentingan dalam LLPM, saksi menjawab "tidak pernah”.

Sementara itu, saksi bersetuju dengan cadangan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman bahawa pada setiap minit mesyuarat yang diadakan, ahli politik itu tidak pernah menjadi pengerusi mesyuarat.

Rozman, 58, dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 10 Februari ini. - Bernama