TSG tak sertai Tour of Antalya

TSG membatalkan penyertaan pada perlumbaan Tour of Antalya yang dijadualkan berlangsung 9 hingga 12 Februari ini. - Foto FB TSG
TSG membatalkan penyertaan pada perlumbaan Tour of Antalya yang dijadualkan berlangsung 9 hingga 12 Februari ini. - Foto FB TSG
A
A
A

PASUKAN berbasikal bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) tidak akan menyertai perlumbaan Tour of Antalya yang dijadualkan berlangsung 9 hingga 12 Februari ini.

Dalam satu kenyataan, TSG memaklumkan mereka yang kini berada di bumi Turkiye dalam keadaan selamat dan akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

“Tour of Antalya sudah dibatalkan dan pasukan kami selamat. Ketika ini, kami sedang mengatur perancangan untuk membawa mereka pulang ke Malaysia secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, pihak penganjur Tour of Antalya memberitahu, pembatalan kejohanan itu susulan kejadian gempa bumi yang berlaku di Turkiye.

“Keputusan itu dibuat Persekutuan Berbasikal Turkiye dengan kerjasama Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Kesemua tiket penerbangan sudah dibatalkan dan kesemua pasukan yang sudah berada Antalya akan diuruskan sewajarnya.

"Kami meminta maaf kerana terpaksa membatalkan Tour Of Antalya,” ujarnya.

Untuk rekod, TSG yang menyertai Tour of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Saudi Tour bulan lalu, mencipta sensasi apabila muncul juara keseluruhan pada perlumbaan Tour of Antalya 2022.