Ditahan minta, terima rasuah tukar ujian air kencing

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat menahan seorang kakitangan makmal perubatan pada Selasa bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM20,000.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 51 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru di sini pada jam 8.30 pagi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, suspek yang bertugas di sebuah makmal perubatan hospital kerajaan telah meminta dan menerima wang rasuah daripada pemilik-pemilik sampel air kencing bagi pengesanan kandungan dadah sebagai balasan untuk menukar keputusan ujian air kencing tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada jam 9 pagi Rabu bagi mendapatkan permohonan reman.