Tiga pelajar IPTS ditahan miliki ganja

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Bandar Sunway, Subang Jaya, dekat sini dan merampas dadah jenis ganja seberat hampir sekilogram dalam serbuan berasingan, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam serbuan pertama pada 12.15 tengah malam di asrama lelaki IPTS berkenaan, pihaknya menahan dua pelajar dan merampas satu peket plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja dianggar seberat 34.3 gram dalam sebuah bekas plastik.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya melakukan serbuan kedua 15 minit kemudian di unit yang lain di asrama berkenaan dan menahan seorang lagi pelajar serta merampas tiga ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 868.7 gram.

"Ketiga-tiganya berusia lingkungan 20-an. Ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) namun tidak memiliki sebarang rekod lampau,” katanya.

Menurut Wan Azlan, dua daripada mereka direman hingga hari ini manakala seorang lagi hingga 10 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama