Juventus fokus kekal di Serie A

Allegri mahu para pemain fokus bagi mengelak Juventus tersingkir daripada saingan Serie A. - Foto AFP
Allegri mahu para pemain fokus bagi mengelak Juventus tersingkir daripada saingan Serie A. - Foto AFP
A
A
A

BERADA di pertengahan carta akibat penalti 15 mata kerana penipuan dalam perpindahan pemain, Juventus tiada pilihan selain perlu fokus pada baki saingan liga untuk kekal bersaing di dalam Serie A.

Penolakan mata itu dan tiga aksi liga tanpa kemenangan menyebabkan Juventus jatuh dari kedudukan kedua ke tangga ke-13, 10 mata di atas zon penyingkiran.

Jurulatih Massimiliano Allegri berkira-kira untuk mendapatkan 40 mata berbaki 18 aksi setelah Juventus mengumpul 23 mata hasil daripada 20 perlawanan.

“Kami perlu mendapatkan 40 mata untuk menyelamatkan diri kami. Ia mungkin akan menyebabkan anda tersenyum, tapi itulah keadaannya,” kata Allegri.

Beliau berkata, Juventus perlu mempunyai objektif jelas dan bergerak dalam satu pasukan untuk berada di kedudukan liga yang lebih baik.

“Ia satu objektif dan kami perlu bergerak satu langkah pada satu masa. Misi pertama mengejar pasukan ke-12 dan kemudian pasukan lain di depan kami.

“Dengan melakukan ini, kami akan menang perlawanan. Ia akan mengekalkan intensiti menjelang aksi Liga Europa dan Coppa Italia,” ujar Allegri yang masih ada dua perlawanan dalam perebutan trofi pada musim ini.

Juventus akan menentang Nantes dalam playoff Liga Europa dengan aksi pertama di laman sendiri pada 16 Februari sebelum menentang Inter Milan pada separuh akhir Coppa Italia pada April.