'Andaian PH tidak dapat sokongan pengundi Melayu tidak benar'

Anwar (kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Isnin.
Anwar (kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Andaian bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat sokongan daripada masyarakat Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu adalah tidak benar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, berdasarkan kajian yang lebih terperinci, gabungan parti itu memperoleh sebanyak 31 peratus undian pengundi Melayu secara keseluruhannya.

"Kita dapat lihat sebenarnya tidak benar yang diuar-uarkan kononnya PH mendapat 19 peratus dukungan kaum Melayu. Jika ya, tidak mungkin kita dapat memperoleh kerusi seperti mana yang dicatat dalam PRU baru-baru ini.

"Kita buat satu pasukan daripada saintis yang membuat analisis data awal dan akan diperkemas kini dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

"Berdasarkan kajian yang lebih terperinci, secara keseluruhannya, undi diperolehi ialah 31 peratus pengundi Melayu, ada (negeri) yang (catat sokongan) rendah seperti di Kelantan dan Terengganu.

"Ada yang cecah lebih 50 peratus seperti di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, jika dikumpulkan kekuatan Kerajaan Perpaduan melibatkan komponen PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain yang bersama, telah mencecah dua pertiga daripada keseluruhan undi dalam PRU15.

"Kalau itu keadaannya, maka dengan dua pertiga ahli Parlimen yang mewakili dua pertiga pengundi dalam PRU15, kita yakin dapat terus mengemudi negara ini sebagai satu pasukan yang mantap.

"Kita akan menggunakan ruang yang ada untuk membersihkan negara daripada budaya rasuah dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih meyakinkan," katanya.