Pemandu warga asing maut tercampak keluar dari kereta

Lelaki Myanmar maut selepas kereta Proton Gen2 dipandunya hilang kawalan dan terbabas di Kuala Kangsar pada Isnin. - Foto ihsan pembaca
Lelaki Myanmar maut selepas kereta Proton Gen2 dipandunya hilang kawalan dan terbabas di Kuala Kangsar pada Isnin. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas kereta yang dipandunya terbabas di Kilometer 258.5, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora di sini pada Isnin.

Nahas sekitar jam 2.15 petang itu mengorbankan pemandu kereta jenis Proton Gen2, Min Myo Htet, 20, akibat kecederaan parah dialaminya.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketika kejadian mangsa memandu sendirian menuju ke utara.

"Siasatan awal mendapati kereta terbabit dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas dan melanggar penghadang besi di bahu kiri jalan sebelum berpusing.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan terjatuh di lorong kanan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.

"Polis kini sedang mengesan keluarga dan majikan mangsa manakala kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.