Pekerja sebabkan kematian majikan ditahan

Laporan Sinar Harian mengenai seorang pekerja bertindak memukul majikannya sehingga mati.
Laporan Sinar Harian mengenai seorang pekerja bertindak memukul majikannya sehingga mati.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pembantu tukang masak lelaki yang disyaki memukul majikannya sehingga menyebabkan kematian di Jalan Stadium di sini, ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek yang berumur 55 tahun itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

"Polis masih sedang menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa daripada pihak hospital. Semakan lanjut juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah.

"Setakat ini, terdapat kira-kira lima saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan berhubung kes yang berlaku itu,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Semalam, media melaporkan seorang pembantu tukang masak lelaki dipercayai bertindak menumbuk dan memukul majikannya yang berumur 68 tahun menggunakan sebatang kayu dalam pergaduhan di belakang sebuah restoran di Jalan Stadium pada 5.15 petang Sabtu (4 Februari).

Mangsa, Ishak Othman, dikatakan tiba-tiba rebah sebaik sahaja pergaduhan dengan suspek berjaya dileraikan ahli keluarga masing-masing sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Difahamkan, punca pergaduhan adalah apabila suspek berang kerana isterinya dimarahi mangsa dipercayai berkaitan pinggan mangkuk yang dicuci. - Bernama.