Ulser petanda kanser lidah

Zuraidi (dua dari kiri) ketika menerima lawatan ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) Kelantan di rumah ibunya di Kampung Paloh Palekbang pada Selasa.
Zuraidi (dua dari kiri) ketika menerima lawatan ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) Kelantan di rumah ibunya di Kampung Paloh Palekbang pada Selasa.
A
A
A

TUMPAT - Ulser berterusan lebih tujuh bulan rupanya menjadi petanda kanser lidah yang menyebabkan Zuraidi Mohamad, 43, kini tidak lagi mampu bercakap.

Zuraidi yang sebelum ini mempunyai bengkel memasang cermin kini sudah tidak boleh bekerja kerana menghidap kanser itu dan mudah penat.

Isterinya, Wan Roslina Wan Hamat, 43, berkata, kanser lidah tahap empat Zuraidi dikesan selepas doktor mengambil bahagian kulit lidah sebagai sampel untuk mengenal pasti penyakitnya.

No Image Caption

Menyedihkan apabila Zuraidi sukar makan secara normal dan perlu mendongak serta menelan makanan tanpa kunyah.

"Keadaan lidahnya hanya tinggal satu pertiga daripada lidah individu normal selepas sel kanser merebak dan kini sudah menyerang bahagian leher.

"Saya hanya menyediakan makanan lembut seperti bubur nasi tetapi ada kalanya dia tidak boleh makan kerana terlalu sakit," katanya ketika ditemui pada sesi lawatan ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) Kelantan di rumah ibunya di Kampung Paloh Palekbang pada Selasa.

Lawatan PBM diketuai Pengerusinya, Nik Mohd Noor Azwan Mustapha.

Bercerita lanjut, ibu tiga anak berusia 5 hingga 15 tahun itu memberitahu, Zuraidi perlu mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Bertam, Pulau Pinang kerana kemudahan peralatan yang lengkap.

Bagaimanapun katanya, kos keseluruhan perubatan sebanyak RM50,000 dan jumlah itu masih belum mencukupi walaupun ada yang memberi sumbangan termasuk keluarga dan rakan-rakan.

Wan Roslina yang berhenti menjual nasi lemak terpaksa mengharapkan ihsan mertuanya, Fatimah Samad, 66, kerana perlu menumpukan perhatian kepada suami.

"Kami sekeluarga juga buntu mencari sumber kewangan tetapi tidak pernah putus asa terutama ibu yang selalu memberi kata-kata semangat," katanya.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan untuk kos perubatan Zuraidi boleh menghubungi Wan Roslina di talian 0109283900 atau menyumbang melalui Maybank di nombor 1512 5827 6031 atas nama Zuraidi Mohamad.