IPTS turut disaran perkenal Menu Rahmah

Mohamed Khaled ketika mengadakan lawatan rasmi ke UTM di Skudai, Johor Bahru pada Isnin.
Mohamed Khaled ketika mengadakan lawatan rasmi ke UTM di Skudai, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) turut disaran memperkenalkan Menu Rahmah di IPT masing-masing.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut sebagai usaha mengurangkan beban kumpulan sasar termasuk golongan penuntut daripada keluarga B40.

"Kita berharap perkara yang baik (memperkenalkan Menu Rahmah) dapat dilaksanakan di IPTS juga.

"Bila program ini (Menu Rahmah) diperkenalkan, kementerian menyambut baik kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memperluaskan program tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Isnin.

Turut hadir Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norliza Noh serta Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Pada Jumaat lalu, Mohammed Khaled dilaporkan berkata, kementerian akan melaksanakan Program Menu Rahmah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam masa terdekat.

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, pihaknya sedang bekerjasama dengan KPDN untuk melaksanakan program berkenaan.

Pada Ahad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Menu Rahmah akan dilancarkan di 20 kafe IPTA sekitar Lembah Klang selepas Aidilfitri ini.

Salahuddin berkata, langkah berkenaan sebagai permulaan sebelum program tersebut diperluas ke IPTA lain di seluruh negara.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan memastikan semua universiti awam akan melaksanakan program Menu Rahmah itu.

"Setiap universiti awam perlu menyediakan ruang untuk melaksanakan program tersebut yang mendapat kerjasama KPDN," ujarnya.