PPA Machang sasar RM400,000 jualan batik

Model memperagakan batik yang dihasilkan oleh penghuni PPA Machang.
Model memperagakan batik yang dihasilkan oleh penghuni PPA Machang.
A
A
A

MACHANG - Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang menyasarkan kira-kira RM400,000 hasil jualan batik tahun ini selepas kejayaan yang diperoleh tahun lalu iaitu lebih RM126,000.

Pengarahnya, Mohd Nasir Yusof berkata, jumlah itu boleh dicapai berdasarkan strategi pemasaran dan kualiti yang dihasilkan.

Menurut beliau, seramai 40 penghuni penjara yang bekerja selama sembilan jam bermula 8.30 pagi menghasilkan batik yang diketengahkan iaitu 'khonyok Mache' dan 'Sulam kasih'.

"Kita melaksanakan kerjasama pintar dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan bagi membolehkan kakitangan mempelajari teknik pemasaran digital dan penghuni menghasilkan reka bentuk menarik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Soft Launching Produk Batik di sini pada Ahad.

Mohd Nasir (kiri) dan Abdol Samad ketika merasmikan Program Soft Launching Produk Batik pada Ahad.
Mohd Nasir (kiri) dan Abdol Samad ketika merasmikan Program Soft Launching Produk Batik pada Ahad.

Beliau memberitahu, pihaknya turut merancang pembukaan kiosk yang bakal menempatkan pelbagai produk yang dihasilkan penghuni penjara termasuk batik.

"Kita mahu komuniti luar tahu produk yang dihasilkan oleh penghuni di penjara ini mempunyai jaminan kualiti," katanya.

Sementara itu, Rektor UiTM Machang, Prof Dr Abdol Samad berkata, pihaknya melalui Kolej Pengajian Senireka Kreatif menyediakan enam pensyarah pakar dalam bidang itu sejak tahun 2014.

Beliau turut memaklumkan, kesemua mereka mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui kehebatan penghasilan batik.

"Mereka mengetengahkan reka bentuk bunga, sayur-sayuran dan alam semula jadi.

"Kami juga berharap hasrat penjara ini sebagai sebuah penjara pelancongan menjadi satu budaya dan masyarakat tidak bimbang untuk membeli barangan di sini," katanya.