Nafuzi belum dapat kesebelasan terbaik Kedah

Pemain Sang Kenari bergambar bersama penyokong Kedah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar.
Pemain Sang Kenari bergambar bersama penyokong Kedah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar.
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC masih belum memperoleh kesebelasan terbaiknya bagi menghadapi saingan sebenar Liga Malaysia (Liga-M) 2023 biarpun telah mengharungi beberapa perlawanan pada pra musim ini.

Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, pasukan kejurulatihan Sang Kenari masih lagi memberikan semua pemain masa untuk menyesuaikan diri di antara satu sama lain bagi membentuk keserasian terbaik.

Menurutnya, daripada sudut komitmen pada sesi latihan dan perlawanan persahabatan, semua pemain menunjukkan kesungguhan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan beliau berpuas hati dengan kesungguhan yang diberikan.

"Bukan masih lagi pasukan Kedah yang sebenar (yang diharapkan). Saya pernah melalui bagaimana kita pernah cemerlang semasa aksi persahabatan tapi sebaliknya berlaku apabila liga sebenar bermula.

"Keputusan dan pasukan yang diturunkan pada aksi persahabatan bukan gambaran sebenar. Banyak lagi kelemahan daripada segi pemain untuk mengikuti sistem dan cara saya," katanya ketika sidang akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar sebelum bersama pasukannya berlepas ke Turkiye bagi aksi empat persahabatan di sana.

Jelajah pra musim 2023 itu menyaksikan pasukan itu akan bertemu empat kelab yang bermain di Liga Perdana Uzbekistan, Liga Perdana Kazakhstan dan Liga Perdana Ukraine.

Tambah Nafuzi, tiada sasaran diletakkan pada setiap kejohanan yang disertai mereka seperti Piala Harapan 2023 sebelum ini membabitkan empat pasukan iaitu KDA FC, Penang FC, Selangor FC dan Geylang FC dari Singapura kerana lebih memfokuskan kepada taktikal dan membina keserasian semua pemainnya.

"Sasaran pra musim 2023 di Turkiye, kita fokus daripada segi persefahaman pemain tentang sistem dan taktikal pasukan agar pemain faham dan kita tahu mana-mana pemain yang baharu memang perlukan sedikit masa untuk serasi.

"Aksi Piala Harapan pula hanya persahabatan yang diadakan secara kejohanan kerana kita tidak mensasarkan apa-apa, yang penting untuk persediaan pemain dan pasukan kerana keputusan di kejohanan tidak menentukan apa yang akan berlaku pada pentas yang sebenar," ujar beliau lagi.

Pada pentas Piala Harapan 2023, KDA FC meraih tempat ketiga selepas mengatasi Geylang FC 2-1 manakala Penang FC muncul juara selepas menewaskan Selangor FC 2-1.

Mengulas mengenai calon ketua pasukan Sang Kenari menjelang aksi sebenar Liga M, Nafuzi menjelaskan, beliau sudahpun mempunyai beberapa nama dan bakal dimuktamadkan kelak.

"Apabila menjelang perlawanan yang sebenar kami akan umumkan siapa kapten pasukan secara rasmi. Bayangan pemain mana sudah ada tetapi biarlah rahsia," kata Nafuzi.