Beri peluang kepada Nurul Izzah: Ahmad Faizal

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar perlu diberi peluang membuktikan kemampuannya menyandang jawatan itu.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sendiri bahawa anak sulungnya itu berkelayakan kerana memiliki dua ijazah selain berpengalaman termasuk menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Saya fikir jika seorang ayah melantik anaknya sendiri selaku penasihat kanan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan tentu Nurul Izzah mempunyai kebolehan amat hebat.

"Kena bagi peluang untuk beliau menasihati PM agar selesai masalah kita, saya yakin ia dapat membantu rakyat keseluruhannya," katanya ketika ditemui pemberita pada Kenduri Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Tambun dan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di Dewan Orang Ramai Sungai Tapah di sini pada Ahad.

Menurut beliau, rakyat perlu menunggu antara dua minggu atau sebulan bagi menyelesaikan masalah berkaitan kos sara hidup mahu pun harga minyak.

"Apabila dilantik, tentu segala masalah ekonomi, kewangan, kos sara hidup, masalah rakyat akan selesai. Semua perkara yang rakyat mahukan semuanya akan selesai.

"Kita mesti yakin dan beri peluang kepada beliau yang sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan tanah air bekerja tanpa bergaji. Tidak lama lagi kita semua akan rasa selesa," sindirnya.

Sinar Harian melaporkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah merupakan individu terbaik untuk menjawat jawatan Penasihat Kanan Ekonomi kepada Perdana Menteri yang juga bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nurul Izzah mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, sekali gus dilantik bagi membantu di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan (MOF).