Tiga warga Myanmar ditahan cuba lintas sempadan

Tiga lelaki warga Myanmar yang ditahan ketika cuba melintasi sempadan di Bukit Kayu Hitam pada Sabtu.
Tiga lelaki warga Myanmar yang ditahan ketika cuba melintasi sempadan di Bukit Kayu Hitam pada Sabtu.
A
A
A

KUBANG PASU - Tiga Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warganegara Myanmar ditahan penguatkuasa ketika cuba melintasi sempadan menggunakan laluan tidak sah di Bukit Kayu Hitam pada Sabtu.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

Katanya, pada jam 1 tengah hari, pasukan operasi yang sedang melaksanakan rondaan telah mengesan sebuah kenderaan Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan berhampiran kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

"Mereka seterusnya bertindak menahan kenderaan yang dipandu lelaki warga tempatan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan terbabit terdapat tiga lelaki warganegara Myanmar yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

"Kesemua suspek ditahan dan diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut," katanya.

Kenyataan terbabit menambah, kenderaan terbabit turut dirampas bersama tiga buah telefon bimbit dan wang tunai dalam matawang Malaysia dan Myanmar yang dianggarkan bernilai hampir RM73,000.