Fahmi Fadzil gesa SKMM, PDRM segera siasat Facebook Sam MY

Menurut Fahmi, dakwaan individu tersebut adalah satu fitnah jahat dan sangkaan buruk.
Menurut Fahmi, dakwaan individu tersebut adalah satu fitnah jahat dan sangkaan buruk.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menyiasat segera hantaran Facebook milik Sam MY kerana didakwa memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Fahmi, ia adalah satu fitnah jahat dan sangkaan buruk oleh individu tersebut.

"Pemfitnah ini telah menggunakan gambar lama yang mana kenalan saya iaitu Abd Rahman Yusof (individu di kanan gambar) telah meninggal dunia pada 8 Jun 2021.

"Gambar itu adalah fitnah. Oleh itu, saya telah mohon SKMM, PDRM siasat segera," jelasnya menerusi laman Facebook pada Ahad.

Semalam, Sam MY memuat naik gambar Anwar dan beberapa individu lain sedang menikmati hidangan makanan di laman Facebooknya.

Menerusi hantaran tersebut, Sam MY mempertikaikan cara mereka berbelanja.

Jelasnya, rakyat Marhaen disuruh makan Menu Rahmah kononnya berjimat cermat dan bijak berbelanja tetapi mereka berminyak bibir makan daging unta.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut mengesahkan foto tular di media sosial memaparkan beliau dan Anwar sedang menjamu selera merupakan gambar lama ketika Anwar belum menjadi Perdana Menteri.

"Gambar ini bukan di Malaysia. Gambar ini gambar lama, sekitar tahun 2019 sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang. Gambar ini diambil di rumah seorang sheikh iaitu kerabat rapat sheikh pemerintah negara Qatar.

"Gambar ini diambil ketika Anwar, beberapa ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pegawai-pegawai khas Anwar yang ketika itu bukannya Perdana Menteri. Ketua Pembangkang pun belum jadi lagi. Anwar baru menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

"Foto Anwar, saya dan beberapa orang lain menjamu selera sedang ditularkan di internet untuk memfitnah Perdana Menteri sebagai tidak prihatin ketika rakyat miskin makan Menu Rahman tetapi Perdana Menteri menikmati hidangan nasi mewah dalam dulang amat besar saiznya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hassan berkata, undangan berkenaan diterima Anwar dan rombongannya sebelum pulang ke Malaysia ketika dijemput tuan rumah itu singgah ke kediamannya sebelum ke lapangan terbang antarabangsa Doha untuk pulang ke tanah air.

"Sebagai tetamu, Anwar dan rombongannya pun terperanjat dengan hidangan yang hebat seperti dalam gambar itu. Kami memahami itu mungkin budaya Arab. Kami makan bersila dalam pinggan yang kecil di hadapan dulang besar dengan nasi Arab berlauk kambing, bukannya unta.

"Anwar ke Doha ketika itu kerana beberapa jemputan. Turut serta dalam rombongan tersebut ketika itu Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani, Ahli Parlimen Kangar, Mohd Amin Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail dan saya. Turut kelihatan dalam gambar itu ialah bekas Ahli Parlimen Kemaman, Abdul Rahman Yusof," ujar beliau.

Katanya lagi, Anwar ke Doha dalam kunjungan itu, pertama untuk memenuhi jemputan Perdana Menteri Qatar, keduanya, dijemput ke persidangan antarabangsa untuk memperingati tokoh kebangkitan Islam terkenal, Malek ben Malek di universiti di Doha.

Selain itu ujarnya, dalam lawatan ke Doha itu, Anwar dan rombongan menziarahi tokoh ulama Islam terkenal, Sheikh Dr Yusof Al-Qardawi.

"Saya ceritakan ini semua untuk menegakkan fakta dan kebenaran untuk melindungi nama baik Perdana Menteri daripada difitnah sesuka hati. Kebenaran pada saya adalah dinding kepada fitnah.

"Namun saya berharap menteri kerajaan janganlah sampai buat aduan polis terhadap sepolan bin sepolan yang membuat hantaran dalam Facebook berkenaan gambar ini. Jangan gunakan polis untuk tutup mulut si pemfitnah. Kita lawan fitnah dengan fakta dan penjelasan yang rasional. Itu lebih bersifat Madani," katanya.