Umat Islam dinasihat tak terlibat acara Thaipusam - Mohd Na'im

Mohd Nama'im
Mohd Nama'im
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menasihati umat Islam untuk tidak terlibat atau mengambil bahagian dalam sambutan Hari Thaipusam pada Ahad ini.

Beliau berkata, ia kerana Thaipusam merupakan acara peribadatan agama yang khusus kepada para penganutnya.

"Nasihat ini juga berpandukan kepada ketetapan panduan yang telah dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah iaitu Islam membataskan hubungan tersebut di dalam perkara-perkara kepercayaan dan amalan keagamaan.

"Batas tersebut sebagai sempadan yang damai, bersemangat toleransi dalam menerima kebebasan dalam mengamal kepercayaan dan amalan agama masing-masing.

"Justeru, dengan prinsip ini umat Islam adalah dilarang daripada terlibat menyertai apa- apa ritual perayaan agama bukan Islam kerana ia bertentangan dengan prinsip akidah Islam," katanya menerusi hantaran Facebook.

Dalam pada itu, Mohd Na'im meminta seluruh rakyat Malaysia agar menghormati perayaan setiap agama di negara kerana ia adalah asas kerukunan hidup yang harmoni di antara penganut agama.

"Agama Islam juga menyeru supaya umat Islam sentiasa menjaga kerukunan dalam masyarakat," ujarnya.