Bergson terus tarik perhatian media Eropah

BERGSON
BERGSON
A
A
A

SEBUAH media Perancis, 20 Minutes telah berkongsi kejayaan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva yang mempunyai purata jaringan melebihi Kylian Mbappe, Erling Haaland dan Robert Lewandowski pada 2022.

Statistik itu terlebih dahulu dikongsi oleh laman Sky Sports Itali yang meletakkan pemain Brazil itu sebagai penjaring dengan purata jaringan tertinggi iaitu 1.27 gol untuk setiap perlawanan.

Ia sekali gus menjadikan Bergson mula mendapat perhatian media Eropah yang sebelum ini turut cemerlang membantu skuad Harimau Selatan meraih empat trofi kejuaraan domestik dan layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC.

Bekas pemain Liga Brazil, Fortaleza itu juga sebelum ini mengakui tidak pernah terfikir untuk mencapai kejayaan selain bonus untuk duduk sebaris dengan nama-nama besar.

Dia yang meledak 46 gol daripada 36 perlawanan turut mengakui rahsia di sebalik kejayaannya berpunca daripada sokongan penuh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Saya agak terkejut apabila melihat statistik itu. Saya tidak sangka saya boleh mencapai kejayaan itu. Masih banyak yang boleh dilakukan.

"Ia satu kelebihan bagi saya untuk bersama nama besar, tetapi ia tidak pernah cukup kerana kami mewakili salah satu pasukan terbesar di Asia," katanya dalam artikel 20 Minutes itu.

Untuk saingan musim ini, Bergson dijangka terus menjadi taruhan JDT untuk merobek gawang lawan dalam saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC.