'Bukan semua operasi dapat maklumat terus tangkap'

Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sembilan gempur penempatan haram PATI. - Foto Ihsan JIM Negeri Sembilan (Gambar kecil: Penempatan ini telah menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut silibus pendidikan negara jiran.)
Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sembilan gempur penempatan haram PATI. - Foto Ihsan JIM Negeri Sembilan (Gambar kecil: Penempatan ini telah menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut silibus pendidikan negara jiran.)
A
A
A

SEREMBAN - Keadaan lokasi yang agak terpencil iaitu sejauh 1.2 kilometer di dalam hutan menyebabkan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan mengambil masa untuk melakukan serbuan di lokasi penempatan haram warga asing di Nilai Spring, Nilai di sini.

Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang berkata, pihaknya perlu mengetahui terlebih dahulu keadaan di situ kerana perlu mengambil kira keselamatan pegawai dan anggota yang bertugas.

"Ada operasi yang bila kita dapat maklumat hari ini, esoknya boleh terus pergi tangkap seperti kebiasaan yang dilakukan.

"Tapi dalam kes kali ini, lokasinya agak terpencil di dalam hutan yang memerlukan kita membuat risikan bagi mengatur strategi dan pentingnya nak tahu serba sedikit keadaan di dalam (penempatan) sebelum kita masuk," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jelas beliau, pihaknya masih sedang mengenal pasti status tanah terbabit sama ada milik kerajaan atau persendirian.

Tambahnya, tindakan lanjut terhadap lokasi penempatan berkenaan hanya dapat diambil selepas menerima maklumat berkenaan soal itu.

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

"Pemantauan secara berterusan masih dilakukan oleh anggota kita di lokasi dan siasatan akan dilakukan dari pelbagai sudut termasuk dakwaan yang warga asing terbabit mendapat bantuan daripada pihak kedutaan,"katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seramai 68 orang warganegara Indonesia telah diperiksa dan hasilnya seramai 67 orang berusia di antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 orang lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan telah ditahan.

Semua tahanan terbabit ketika ini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut atas kesalahan yang dikenal pasti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Peguam, Norman Fernandez pula berkata, kedutaan Indonesia tidak seharusnya mempermudah urusan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk meneroka tanah dan menetap di negara ini sehingga dikesan dan ditangkap, seperti yang telah berlaku.

Mengikut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta, pusat pembelajaran sementara telah bermula April lalu dan sebahagian operasinya disokong oleh kerajaan Indonesia yang menyediakan bantuan berupa silibus pelajaran persekolahan Indonesia.

“Lebih memeranjatkan ialah kenyataan, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono yang mengakui pihak kedutaan bukan sahaja mengeluarkan dokumen perjalanan melegalisasi mereka, malah telah memudahkannya dengan bantuan silibus pelajaran persekolahan Indonesia.

“Ia supaya anak-anak di penempatan tersebut dapat menyambung pelajaran apabila pulang ke Indonesia,” ujarnya.