Chong Wei, 6 bekas atlet jadi panel penasihat teknikal BAM

Gambar kecil dari kiri: Lee Chong Wei, Roslin Hashim, Ong Ewe Hock, Jalani Sidek, Cheah Soon Kit.
Gambar kecil dari kiri: Lee Chong Wei, Roslin Hashim, Ong Ewe Hock, Jalani Sidek, Cheah Soon Kit.
A
A
A
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menubuhkan sebuah panel penasihat teknikal terdiri daripada tujuh bekas pemain badminton kebangsaan dan tujuh eksekutif sukan bagi mencari jalan menambah baik prestasi skuad negara.

BAM dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, ahli panel penasihat itu terdiri daripada bekas wakil negara ke Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei, mantan pemain perseorangan lelaki kebangsaan Roslin Hashim dan Ong Ewe Hock, bekas beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Datuk Seri Jalani Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit.

Bekas-bekas pemain itu akan menyertai Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku pengerusi panel itu dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli.

"Termasuk Naib-Naib Presiden BAM Datuk Teoh Teng Chor dan Datuk Ng Chin Chai, Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh Chee Keong, selain bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Dr Ramlan Abd Aziz dan Ketua Pengarah MSN sekarang Datuk Ahmad Shapawi Ismail," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Panel Penasihat Teknikal ini berkhidmat tanpa bayaran dan akan menyediakan input, nasihat dan bimbingan strategik tambahan kepada Lembaga Pemegang Amanah dan Pengurusan Akademi Badminton Malaysia (ABM) dengan sasaran meningkatkan prestasi pemain bagi matlamat strategik jangka panjang untuk penyudah podium di Sukan Olimpik, Acara Pelbagai-Sukan dan kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) .

"Panel Penasihat Teknikal ini yang akan bermesyuarat setiap suku tahun, akan menilai prestasi pemain dan jurulatih serta jika diperlukan membuat cadangan perubahan di dalam dasar, program latihan dan penglibatan kejohanan kepada Lembaga Pemegang Amanah,” katanya.

Mesyuarat pertama panel berkenaan akan diadakan penghujung bulan ini. - Bernama