'Seperti perlawanan sebenar' - Nafuzi

KDA FC tewas 6-5 kepada Selangor FC menerusi penentuan sepakan penalt selepas terikat tanpa jaringan dalam 90 minit masa sebenar Kejohanan Piala Harapan 2023.

Sang Kenari tumpas kepada Gergasi Merah pada aksi Piala Harapan 2023 menerusi sepakan penalti dengan keputusan 6-5 pada malam Khamis. - Foto KDA FC
Sang Kenari tumpas kepada Gergasi Merah pada aksi Piala Harapan 2023 menerusi sepakan penalti dengan keputusan 6-5 pada malam Khamis. - Foto KDA FC
A
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain gembira dengan semua pemain yang diturunkan semasa bertemu Selangor FC pada aksi Piala Harapan 2023 kerana mempamerkan kesungguhan pada perlawanan yang berintensiti tinggi malam Khamis.

Tewas 6-5 kepada Gergasi Merah menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan dalam 90 minit masa sebenar, pemain Sang Kenari dilihat tetap menampilkan peningkatan dalam beberapa aspek yang dimahukan Nafuzi.

“Perlawanan ini memang kita mahu menang tapi banyak perkara lain juga yang kita lihat kerana aksi ini seperti perlawanan Liga Super yang sebenar dengan intensiti perlawanan cukup tinggi buat skuad yang baharu dibentuk.

“Mereka bermain dengan intensiti seperti ini bukan mudah tapi saya gembira dengan apa yang pemain tunjukkan malam ini,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan tamat di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

KDA FC akan membuat perhitungan bertemu kelab dari Singapura, Geylang International FC dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Harapan pada petang Sabtu.

Menurut Nafuzi, pasukan kejurulatihan kini sedang menyiapkan pemain agar mereka mempunyai tahap kecergasan yang sama sepanjang perlawanan berlangsung apabila Liga Malaysia 2023 membuka tirai pada penghujung Februari nanti.

Dalam pada itu, kehadiran penyokong Sang Kenari yang ramai turut menghidupkan suasana sepanjang perlawanan berlangsung sehingga ke penentuan sepakan penalti.

“Saya sangat berterima kasih kepada penyokong kerana saya sendiri tidak menjangka dekat Batu Kawan ini begitu ramai penyokong yang hadir memeriahkan perlawanan. Gambaran seperti perlawanan separuh akhir Piala Malaysia,” ujar beliau.

Selepas kejohanan Piala Harapan 2023, pasukan KDA FC akan berlepas ke Turkiye pada 5 Februari bagi menghadapi empat perlawanan pra-musim menentang kelab dari Uzbekistan, Ukraine dan Kazakhstan.