Langkah Tze Yong tersekat di suku akhir

Tze Yong tewas kepada pemain Hong Kong pada aksi suku akhir Thailand Masters di Bangkok pada Jumaat. - Foto FB BAM
Tze Yong tewas kepada pemain Hong Kong pada aksi suku akhir Thailand Masters di Bangkok pada Jumaat. - Foto FB BAM
A
A
A

IMPIAN pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk melangkah ke separuh akhir Thailand Masters tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long pada Jumaat.

Dalam saingan suku akhir di Stadium Nimibutr, Bangkok, pemain muda berusia 22 tahun itu tewas 'straight set' 21-14, 22-20 dalam tempoh 43 minit.

Tze Yong yang merupakan pemain pilihan kelapan kejohanan mudah dijinakkan pada set pertama.

Pemain di ranking ke-17 dunia itu memberi tentangan sengit pada set kedua, namun pengalaman memihak Ka Long untuk menang 22-20.

Pemain yang menghuni ranking 23 dunia itu akan menentang pemenang antara Li Shi Feng dari China yang membuat perhitungan dengan B. Sai Praneeth dari India untuk perebutan ke final pada Sabtu.

Apa pun ia menjadi pencapaian terbaik Tze Yong di Bangkok berbanding tiga kejohanan awal musim ini.

Tze Yong sebelum ini, gagal melepasi pusingan awal dalam tiga kejohanan tahun ini iaitu Terbuka Malaysia (pusingan pertama) dan tersingkir pada pusingan kedua masing-masing di Terbuka India dan Indonesia Masters.