Polis siasat dakwaan aktivis ditahan, dihalang

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Polis menerima satu laporan berhubung dakwaan aktivis alam sekitar dan penduduk ditahan sekumpulan individu ketika menyertai tinjauan pencerobohan di Pantai Pasir Panjang, Segari di Lumut pada Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan berkenaan diterima daripada pengurus syarikat kawasan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, berlaku salah faham antara pihak yang terlibat dan tiada mana-mana individu yang ditahan semasa kejadian.

"Kita ada terima laporan dan siasatan sedang dijalankan.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada melakukan kesalahan pencerobohan jenayah," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada Khamis Sinar Harian melaporkan, hasrat sekumpulan aktivis alam sekitar dan penduduk setempat untuk meninjau kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang, Segari di Lumut kecoh apabila berlaku provokasi membabitkan sekumpulan individu lain di kawasan berhampiran.

Menerusi rakaman video yang dikongsikan Sahabat Alam Malaysia (SAM), seorang lelaki mendakwa kumpulan aktivis dan penduduk tersebut menceroboh masuk ke kawasan berkenaan sebelum kesemua mereka ditahan.

SAM, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak (Ekologi Perak) dan Persatuan Penggiat Alam Segari mengulangi kebimbangan mereka terhadap eksploitasi dan ancaman Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 di Pantai Pasir Panjang, Segari, di daerah Manjung yang boleh memusnahkan kawasan pendaratan penyu utama di Perak.