Peniaga parah ditetak depan isteri

Rakaman CCTV menunjukkan suspek berbaju merah menetak mangsa beberapa kali dalam kejadian di Taman Pertama, kelmarin.
Rakaman CCTV menunjukkan suspek berbaju merah menetak mangsa beberapa kali dalam kejadian di Taman Pertama, kelmarin.
A
A
A

IPOH - Seorang peniaga parah ditetak dengan parang oleh seorang lelaki bertopi keledar dalam kejadian di Taman Pertama di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu disaksikan sendiri oleh isterinya yang meluru menyelamatkan suaminya sebelum suspek yang memakai baju merah melarikan diri.

Video serangan yang berdurasi 14 saat itu mula tular di laman sosial sejak semalam, melihat suspek berlari ke arah mangsa dan menetak beberapa kali sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata,mangsa berusia 36 tahun kini telah mendapatkan rawatan dan menjalani beberapa pembedahan akibat kecederaan itu.

“Berdasarkan keterangan daripada isteri mangsa berusia 31 tahun itu, dia cuba menarik suaminya dari terus ditetak.

“Kejadian itu berlaku dengan pantas. Isteri mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek kerana memakai topi keledar berpenutup penuh,” katanya.

Menurutnya, walaupun isterinya menghalang suspek, dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

“Isterinya mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan urusan perniagaan suaminya sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Polis belum mendapatkan keterangan daripada mangsa kerana masih tidak sedarkan diri akibat pembedahan yang dijalankan,” katanya.

Mohd Ali berkata, mangsa mengalami luka sepanjang 7cm hingga nampak tulang rusuk di belakang badan selain cedera di kaki.

“Tempat kejadian telah dilawati dan rakaman kamera litar tertutup telah diperiksa.

“Pihaknya sedang mengenal pasti suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!