JDT tumbangkan Lokomotiv Moscow

Gol tunggal JDT hadir menerusi Arif Aiman pada minit ke-56 . Foto: FB Johor Southern Tiger
Gol tunggal JDT hadir menerusi Arif Aiman pada minit ke-56 . Foto: FB Johor Southern Tiger
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus mencipta sensasi dalam aksi pra musim apabila menumbangkan kelab liga utama Rusia, Lokomotiv Moscow 1-0 di Stadium The Sevens, Dubai pada Khamis.

Ia sekali gus kejutan dilakar anak buah Esteban Solari ke atas pasukan juara tiga kali Liga Premier Rusia itu.

Gol tunggal JDT hadir menerusi Arif Aiman pada minit ke-56 selepas menerima hantaran jauh daripada Fernando Forestieri.

Arif kemudian bertindak cemerlang melarikan bola sebelum tenang menyudahkan jaringan tersebut.

Lokomotiv cuba bangkit mengatur serangan, namun disiplin yang ditonjolkan barisan pertahanan JDT menggagalkan usaha tersebut.

Setakat ini, JDT sudah meraih tiga kemenangan daripada empat perlawanan pra musim apabila menewaskan kelab UAE, Fursan Hispania 3-0 dan mendahului 1-0 ketika menentang kelab Bulgaria, FC Levski Sofia sebelum ditamatkan lebih awal akibat pergaduhan.

Skuad Harimau Selatan akan mengharungi aksi pra musim terakhir menentang pendahulu Liga Premier Rusia, Zenit St Petersburg.