Waspada sindiket tawar lantikan dalam perkhidmatan awam

 Gambar hiasan (Gambar keicl: Tangkap layar kenyataan SPA pada Khamis.)
Gambar hiasan (Gambar keicl: Tangkap layar kenyataan SPA pada Khamis.)
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) meminta orang awam berwaspada dengan sindiket penyamaran yang menawarkan perkhidmatan berbayar untuk dilantik ke dalam perkhidmatan awam

SPA menerusi kenyataan pada Khamis berkata, pihaknya menerima aduan mengenai sindiket penyamaran sebagai ahli suruhanjaya dan pegawai pengurusan tertinggi SPA yang menawarkan perkhidmatan yang kononnya berbayar itu.

"SPA menafikan telah menawarkan perkhidmatan berbayar kepada mana-mana individu untuk dilantik ke dalam perkhidmatan awam.

"Sindiket penyamaran yang dikesan ini aktif dalam platform Telegram atau platform media sosial lain dengan menggunakan nama dan gambar ahli suruhanjaya atau pegawai pengurusan tertinggi SPA bagi memperdayakan mangsa," katanya.

SPA menjelaskan, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan telah membuat laporan polis supaya pihak yang tidak bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang.

"SPA mengingatkan dan menasihatkan calon supaya berwaspada serta tidak terpedaya dengan jerat sindiket ini," ujarnya.

SPA menegaskan, permohonan pekerjaan boleh dibuat sepenuhnya melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA9) dan tidak melibatkan campur tangan atau pengaruh mana-mana pihak.

Katanya, calon boleh terus memohon melalui SPA9 kerana tiada bayaran dikenakan bagi permohonan kemasukan ke perkhidmatan awam.