Negeri Sembilan tidak kompromi isu penempatan haram

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Aminuddin)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Aminuddin)
A
A
A
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan berkompromi dengan sebarang isu keselamatan terutama membabitkan warga asing yang menceroboh tanah sama ada milik persendirian mahupun kerajaan untuk dijadikan penempatan haram.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua pihak termasuk agensi penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS), polis dan pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan segera selain memantau semua kawasan berisiko bagi memastikan kes tidak berulang.

"Saya sendiri terperanjat dengan berita itu dan saya tegaskan ia tidak sepatutnya berlaku. Kita tidak mahu ada lagi perkampungan seperti itu, yang sudah lama wujud baru nak ambil tindakan dan masa itu sudah susah untuk pindahkan mereka. Ini isu besar yang perlu dipandang serius.

"Kalau ikutkan ini pertama kali berlaku tapi ia dah lama (wujud) dan tidak boleh dimaafkan. Ini menunjukkan bagaimana keselamatan negeri ini bila-bila masa mungkin boleh rosak, status tanah juga belum disemak sebab dibina di kawasan paya,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di sini pada Khamis.

Pada Rabu, JIMNS menahan 67 pendatang tanpa izin Indonesia terdiri daripada 11 lelaki dan 20 wanita dewasa, serta 36 kanak-kanak termasuk bayi berumur dua bulan di sebuah penempatan haram di Nilai Spring, dekat sini yang dipercayai beroperasi sejak lebih dua tahun.

Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang dilaporkan berkata, hasil risikan mendapati penempatan berkenaan memiliki kemudahan ‘sekolah’ menggunakan silibus pendidikan negara jiran, malah turut dilengkapi beberapa set generator bagi membekalkan kemudahan elektrik.

Jelasnya, anggota yang terlibat dalam operasi itu perlu berjalan kaki meredah kawasan hutan sejauh 1.2 kilometer untuk sampai ke kawasan penempatan yang tidak rata dan berpaya, serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama agensi penguat kuasa negeri selain meminta Majlis Keselamatan Negeri untuk mengambil tindakan proaktif membendung perkara itu. - Bernama