Tauke beg, dompet tiruan masuk jerat

Ariffin (dua dari kanan) menunjukkan barangan tiruan yang dirampas dalam serbuan di ibu negara pada Isnin lalu.
Ariffin (dua dari kanan) menunjukkan barangan tiruan yang dirampas dalam serbuan di ibu negara pada Isnin lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Stok barang tiruan bernilai RM250,000 sempena Hari Raya Aidilfitri dirampas dalam serbuan di ibu negara, Isnin lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pihaknya bersama wakil pemilik cap dagang membuat serbuan ke atas dua premis membabitkan pemborong di Jalan Haji Taib dan stor penyimpanan di Pandan Perdana hasil risikan selama dua minggu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dua premis sewa itu telah menyita 11,381 unit barang disyaki tiruan terdiri daripada beg, dompet dan beg tangan berjenama.

"Jumlah sitaan bagi dua premis ini bernilai RM250,000 kerana disyaki secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

"KPDN Kuala Lumpur turut menahan tiga individu berusia 30 hingga 40-an termasuk seorang pemilik premis," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai telah aktif sejak lima tahun lalu dan barangan itu dijual secara dalam talian.

Katanya, stok barangan tiruan itu adalah bagi tujuan penjualan sempena Hari Raya Aidilfitri.

"Barang yang disimpan di stor simpanan menjadi pembekal utama kepada pemborong serta peruncit di Kuala Lumpur selain turut menghantar bekalan kepada peniaga di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak," ujarnya.

Tambahnya, beg dan dompet tiruan yang berjenama ini dipercayai diperoleh pada kos RM10 hingga RM80 seunit dan akan dijual pada harga borong iaitu RM20 hingga RM200 seunit bergantung kepada kualiti.

Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Tegasnya, KPDN Kuala Lumpur menyeru orang ramai supaya tidak terlibat dalam urus niaga yang melibatkan barang tiruan.