Geng pecah rumah, curi Proton Wira diberkas

Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan alatan berbentuk T yang tajam pada bahagian hujung digunakan untuk mengumpul kunci kenderaan
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan alatan berbentuk T yang tajam pada bahagian hujung digunakan untuk mengumpul kunci kenderaan
A
A
A

KOTA BHARU - Sindiket pecah rumah dan curi kereta jenis Proton Wira diketuai bekas banduan tumpas selepas diberkas bersama enam ahli kumpulannya di Kampung Machang Limbat dan Kampung Berhala Lima di Pasir Tumboh pada Khamis.

Kesemua suspek berusia antara 37 tahun dan 58 tahun itu ditahan dalam Op Lejang antara jam 12.15 tengah malam hingga 4 pagi.

Serbuan melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek utama berusia 37 tahun itu memiliki 10 rekod lampau bersabit lima kesalahan jenayah termasuk pecah rumah dan lima berkait dadah.

Muhamad Zaki (empat dari kanan) menunjukkan cara penjenayah mengumpul kunci kereta menggunakan besi T tajam.
Muhamad Zaki (empat dari kanan) menunjukkan cara penjenayah mengumpul kunci kereta menggunakan besi T tajam.

“Suspek baharu enam bulan dibebaskan dari penjara bersabit dua kesalahan itu.

“Penahan kesemua suspek dilakukan hasil penemuan cap jari salah seorang daripada mereka di sebuah rumah yang dipecah masuk,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di IPK pada Khamis.

Muhamad Zaki berkata, berlaku pergelutan ketika proses penahanan suspek menyebabkan seorang anggota berpangkat koperal patah jari kelingking tangan kanan.

“Hasil pemeriksaan menemukan lima kereta Proton Wira yang dipercayai dicuri, peralatan mencuri kenderaan, alat pecah rumah, telefon bimbit dan sejumlah wang.

“Kereta yang curi itu dijual dengan harga antara RM3,000 hingga RM5,000 kepada pembeli selain dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah lain,” jelasnya.

Tambahnya, kereta jenis terbabit menjadi sasaran sindiket kerana mempunyai permintaan tinggi dan mudah dijual.

“Kunci kereta juga dipercayai senang diumpil dan enjin mudah dihidupkan oleh pencuri.

“Susulan penahanan mereka, satu kes pecah rumah dan lima kes kecurian Proton Wira dapat diselesaikan manakala saki-baki anggota kumpulan masih dicari,” ujarnya.

Kenderaan curi dirampas daripada kumpulan sindiket di Pasir Tumboh, Kota Bharu.
Kenderaan curi dirampas daripada kumpulan sindiket di Pasir Tumboh, Kota Bharu.

Kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine ditahan reman selama enam hari bermula Khamis sehingga 7 Februari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk, 379A Kanun Keseksaan (curi kenderaan) dan Seksyen 325/353 Kanun Keseksaan (menggunakan kekerasan untuk menakutkan penjawat awam).