Martial, Fred pacu Manchester United ke final Piala Liga

Martial antara pencetak gol United ketika berdepan Forest.
Martial antara pencetak gol United ketika berdepan Forest.
A
A
A

GOL separuh masa kedua Anthony Martial dan Fred membolehkan Manchester United menang selesa 2-0 ke atas Nottingham Forest di Stadium Old Trafford, sekali gus kemenangan agregat 5-0 bagi mengesahkan slot ke final Piala Liga.

Babak pertama menyaksikan pemain baharu yang direkrut pada perpindahan pemain Januari, Wout Weghorst hampir menambah koleksi jaringan sebelum tandukan daripada hantaran silang mengenai palang gol.

Pengendali United, Erik ten Hag kemudiannya memasukan penjaring sensasi The Red Devils, Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Martial pada separuh masa kedua untuk memberi tekanan kepada pelawat.

Hasil percaturan itu menyaksikan penyerang Perancis tersebut berjaya menjaringkan gol pendahuluan Manchester United pada minit ke-73.

Pemain Brazil, Fred kemudiannya tiga minit selepas itu mematikan kebangkitan pelawat dengan gol kemenangan bagi mengesahkan slot perlawanan akhir berdepan Newcastle United pada 26 Februari ini.

Kemenangan ke atas Forest itu juga menyaksikan skuad asuhan ten Hag melebarkan kemenangan di tempat sendiri kepada 12 perlawanan dalam semua pertandingan.

Untuk rekod Manchester United merupakan pilihan ke perlawanan akhir selepas menang besar 3-0 ke atas Forest di Stadium City Ground pada 26 Januari lalu.

Pada perlawanan timbal balik kedua ten Hag tetap menurunkan kesebelasan terkuat apabila hanya merehatkan penjaga gol David de Gea dan Rashford.

Manchester United kini telah mara ke final Piala Liga buat kali ke-10.