Mampukah PN menang di Selangor pada PRN 2023

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) bersedia memberi peluang kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk kembali menjadi Menteri Besar Selangor jika menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam beberapa bulan lagi.

Difahamkan PRN dijangka diadakan sebelum bulan Jun tahun ini.

Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, peluang sentiasa terbuka kepada bekas Menteri Besar Selangor itu untuk kembali memimpin Selangor.

Bagaimanapun, katanya, segala kemungkinan itu terserah kepada kebijaksanaan kepimpinan PN untuk menentukan calon terbaik menjawat jawatan nombor satu peringkat negeri itu.

"Peluang sentiasa terbuka kepada (Mohamed Azmin) dan kalau beliau berjaya menang di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) dan membantu kemenangan kita di Selangor, insya-ALLAH dengan segala pengalaman yang ada membangunkan Selangor, beliau mampu ke arah itu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Persoalannya, adakah PN mampu dan mempunyai harapan cerah untuk merampas Selangor dalam PRN akan datang.

Kemenangan Pas di enam kerusi parlimen Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini tidak boleh dijadikan titik penentuan mereka diterima rakyat Selangor.

Dijangka akan berlaku pertandingan sengit jika Mohamed Azmin masih diletakkan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa kerana pengundi Melayu di sana tidak sampai 50 peratus.

Oleh itu, sudah pasti, ia merupakan tugas berat buat Mohamed Azmin untuk mempertahankan kerusi DUN yang dimenangi beliau semasa PRU14 lalu.