Jorginho tak sabar cetus impak untuk Arsenal

Jorginho menandatangani kontrak 18 bulan bersama Arsenal.
Jorginho menandatangani kontrak 18 bulan bersama Arsenal.
A
A
A

JORGINHO bakal menikmati peluang untuk bermain di bawah kendalian Mikel Arteta di Arsenal selepas perpindahan mengejut dari Chelsea pada hari terakhir jendela perpindahan pemain.

Arsenal dilaporkan telah membayar £12 juta (RM57.77 juta) kepada Chelsea untuk memuktamadkan perjanjian itu selepas gagal dalam percubaan mereka untuk membawa masuk Moises Caicedo dari Brighton dan Hove Albion.

Pemain antarabangsa Itali itu memberikan pilihan untuk Arsenal di di bahagian tengah selepas kehilangan Mohamed Elneny akibat kecederaan lutut.

Menurut Jorginho, Arteta merupakan pengaruh utama untuknya menyertai The Gunners.

"Arteta adalah pengaruh yang besar. Saya tahu dia beberapa kali cuba mendapatkan saya sebelum ini dan ia tidak berlaku atas sebab lain, bukan kerana kehendak saya.

"Jadi, sudah tentu dia merupakan pengaruh yang besar. Sekarang saya sangat teruja dengan cabaran baharu ini, dan saya tidak sabar untuk berada di atas padang," katanya.

Jorginho mempunyai banyak pengalaman dan telah membuat lebih daripada 500 penampilan kelab dalam kerjayanya selain mewakili Itali sebanyak 46 kali.

Minat Arsenal terhadap pemain tengah kelahiran Brazil itu hanya diketahui pada hari-hari terakhir jendela perpindahan dan dia menandatangani kontrak selama 18 bulan di Stadium Emirates.

"Semuanya berlaku begitu pantas. Saya agak terkejut, tetapi saya mengambil peluang dengan cabaran yang menakjubkan ini.

"Ia adalah kelab yang menakjubkan, yang besar, dan saya sangat teruja serta gembira berada di sini.

"Saya cuba membawa tenaga positif, kerja keras dan pengalaman saya untuk membantu pasukan. Itulah yang saya selalu bawa bersama saya," katanya.