Piala MFL platform perkasa skuad Bawah 23 tahun

No Image Caption
A
A
A

UNDIAN Piala MFL memperlihatkan peluang seimbang buat 15 pasukan bagi mencipta sejarah menjadi pasukan pertama menjuarai pertandingan edisi sulung musim ini.

Majlis undian disempurnakan Ketua Jurulatih Bawah 23 tahun negara, E Elavarasan dan bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali.

Kejohanan Piala MFL menjadi pertandingan terbaharu diperkenalkan MFL pada musim ini yang merupakan platform untuk skuad Bawah 23 tahun bagi setiap kelab yang bersaing di Liga Super selain pengenalan semula Challenge Cup yang kini dikenali MFL Challenge Cup.

Dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B, sebanyak 15 pasukan dari Liga Simpanan bawah 23 tahun bakal bersaing dalam memburu empat kedudukan teratas di peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan akhir.

Sebanyak 8 pasukan telah diundi dalam Kumpulan A iaitu membabitkan Skuad Projek FAM-MSN, PDRM FC, Kedah Darul Aman FC, Penang FC, Johor Darul Ta’zim II, Terengganu FC II, Sabah FC dan Kelantan United FC.

Sementara Kumpulan B, sebanyak 7 pasukan dengan membabitkan Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Perak FC II, Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC, Kuching City FC dan Kelantan FC.

Perlawanan pertama Piala MFL bakal bermula pada 2 dan 3 Mac dengan aksi terakhir peringkat kumpulan pada 23 dan 24 Julai.

Semua perlawanan bakal dijalankan mengikut format liga dua pusingan yang membabitkan aksi di laman sendiri dan lawan.

Sementara lapan pasukan yang mara ke pusingan akhir bakal mulakan saingan pada 1 Ogos dan akan beraksi mengikut format liga satu pusingan.

Dua pasukan teratas bakal mara ke perlawanan akhir yang dijangka berlangsung pada 5 November.