Tergamak bunuh wanita muka seiras untuk palsukan kematian

Sharaban K (kiri) membunuh Khadidja O yang ditemuinya di Instagram pada Ogos tahun lalu. - Foto Agensi
Sharaban K (kiri) membunuh Khadidja O yang ditemuinya di Instagram pada Ogos tahun lalu. - Foto Agensi
A
A
A

BERLIN - Seorang wanita di Jerman tergamak membunuh individu mempunyai wajah mirip dengannya yang ditemui di media sosial semata-mata mahu memalsukan kematiannya sendiri.

Mayat mangsa, blogger kecantikan warga Algeria, Khadidja O yang berusia 23 tahun itu dijumpai di tempat duduk belakang sebuah kereta di bandar Ingolstadt dengan beberapa kesan tikaman pada Ogos lalu.

Susulan itu, suspek berketurunan Iraq dikenali sebagai Sharaban K bersama seorang lelaki warga Kosova, Sheqir K juga berumur 23 tahun telah ditahan kerana disyaki membunuh.

"Siasatan awal polis mendapati suspek wanita itu mahu bersembunyi kerana berdepan masalah keluarga," ujar pihak berkuasa pada Isnin.

Difahamkan, wanita itu turut menghubungi beberapa wanita lain yang kelihatan sama sepertinya dan cuba memperdaya mereka dengan 'ayat manis'.

"Mangsa dihubungi pada awal Ogos dan dia kemudiannya mengatur pertemuan antara mereka pada 16 Ogos 2022. Pasangan itu sanggup untuk mengambil mangsa di kediamannya di Heilbronn berhampiran Stuttgart.

"Ketika dalam perjalanan pulang, pasangan itu menariknya keluar dari kenderaan dinaiki mereka ke kawasan hutan sebelum membunuhnya," kata jurucakap polis lagi.

Tambahnya lagi, suspek meneruskan perjalanan ke Ingolstadt di mana mayat mangsa ditemui tidak lama selepas itu.

Sementara itu, akhbar Sueddeustche Zeitung melaporkan suspek merupakan pakar kecantikan dan cuba memperdaya mangsa menerusi Instagram dengan menawarkan kosmetik miliknya.

"Kedua-dua wanita mempunyai rambut panjang berwarna coklat, berkulit gelap dan gemar bersolek," jelas laporan itu. - AFP