Burung cederakan doktor, pemiliknya diarah bayar AS$91,350

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

TAIPEI - Seorang lelaki di Tainan, Taiwan diperintah membayar ganti rugi NT$3.04 juta (AS$91,350) kepada doktor yang mengalami kecederaan selepas diserang burung kakaktua peliharaan lelaki itu.

Lelaki bernama Huang itu diarah membayar pampasan kepada doktor yang dikenali sebagai Lin atas kerugian kewangannya selama setengah tahun apabila beliau tidak dapat bekerja akibat kecederaan yang dialaminya, menurut Mahkamah Daerah Tainan dalam keputusan yang dikeluarkan pada 30 Dis 2022, lapor Central News Agency (CNA).

Sendi pinggul doktor berkenaan terkehel selain patah tulang asetabulum pada pinggul kanannya dalam kejadian pada petang 13 Julai 2020, selepas 'diserang' burung kakaktua itu ketika berjoging di Daerah Gueiren.

Huang melepaskan burung itu tanpa mengambil sebarang langkah berjaga-jaga.

Walaupun Huang segera menghubungi ambulans untuk membawa Lin ke hospital, Lin terpaksa menjalani rawatan selama seminggu serta berehat di rumah selama lebih setengah tahun dan dijaga oleh penyedia perkhidmatan penjagaan.

Menurut laporan itu, Lin menyaman Huang untuk pampasan NT$3.68 juta atas kerugian kewangannya termasuk kehilangan gaji bulanan NT$220,000, perbelanjaan perubatan dan yuran penjagaan.

Mahkamah kemudian menurunkan jumlah itu kepada NT$3.04 juta.

Selain itu, Huang dijatuhi hukuman penjara dua bulan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan tanpa sengaja. - Bernama