Geng tarik kereta bergaduh direman dua hari

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MELAKA - Sembilan lelaki yang merupakan geng tarik kereta ditahan polis selepas terbabit dalam insiden pergaduhan berkumpulan di Jalan Datuk Haji Mohd Zain, Batu Berendam dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua mereka berusia antara 20 hingga 64 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima aduan pada jam 7.30 malam.

Menurutnya, punca pergaduhan itu dipercayai disebabkan salah faham dan pertelingkahan dua kumpulan penarik kereta yang berebut pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan mereka.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati kesemua yang ditahan mendakwa terbabit dalam kes gaduh gempar.

"Kesemua suspek kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau, pihaknya turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian pergaduhan terbabit.

"Jika tidak mereka boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Sebelum ini beberapa video berhubung insiden pergaduhan termasuk tumbuk menumbuk tular di media sosial.