Lapan anggota polis ditahan: Cemburu motif bunuh lelaki

Sebelum ini Polis Sabah mengesahkan lapan pegawai dan anggotanya ditahan dipercayai boleh membantu siasatan berkaitan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Tawau.
Sebelum ini Polis Sabah mengesahkan lapan pegawai dan anggotanya ditahan dipercayai boleh membantu siasatan berkaitan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Tawau.
A
A
A

KOTA KINABALU - Cemburu dipercayai menjadi motif kes pembunuhan seorang lelaki yang dikaitkan dengan penahanan lapan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini baru-baru.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, kes itu lebih kepada bersifat peribadi.

"Kes ini lebih kepada cemburu dan yang dituduh (di mahkamah pada Isnin) adalah isteri si mati. Ia bukan melibatkan isu keselamatan dan lebih kepada peribadi," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Idris ketika menyampaikan sijil penghargaan pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kapayan.
Idris ketika menyampaikan sijil penghargaan pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kapayan.

Sebelum itu, Idris memaklumkan setakat ini, polis sudah menahan lapan anggota dan pegawai polis serta tiga lagi orang awam.

Katanya, orang awam yang ditahan adalah bagi membantu siasatan dan mengumpulkan bahan bukti sebelum tindakan lanjut diambil.

"Seorang wanita iaitu orang awam sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Dalam kes ini, siasatan masih diteruskan dan mungkin dalam masa terdekat kita akan lihat tangkapan dilakukan. Kita sedang mengumpulkan bukti dan bila cukup bukti serta keterangan yang ada mungkin kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapat arahan seterusnya," katanya.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan polis Sabah mengesahkan lapan pegawai dan anggotanya ditahan dipercayai boleh membantu siasatan berkaitan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Tawau.