Semangat baharu

Replika reka bentuk pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam yang dijangka siap pada 2026. (Gambar kecil: Tengku Amir Shah)
Replika reka bentuk pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam yang dijangka siap pada 2026. (Gambar kecil: Tengku Amir Shah)
A
A
A

STADIUM baharu Shah Alam yang dijangka siap pada 2026 akan memberikan semangat baharu buat pasukan Selangor FC dalam usaha untuk kembali menjadi pasukan terunggul di negara ini.

Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, pembangunan stadium baharu tersebut menjadi simbol progresif dan inovasi kepada pasukan tersebut.

“Terdapat lima perkara asas yang diberikan perhatian penuh apabila saya menyertai Selangor FC dan Selangor FA untuk memperbaiki prestasi pemain, jurulatih dan pengurusan.

“Pembangunan infrastruktur juga amat penting khususnya bagi meningkatkan kualiti latihan pasukan dan saya melihat pembangunan stadium baharu ini akan menyatukan usaha tersebut.

“Saya berharap Stadium Shah Alam yang baharu ini pada masa hadapan akan menjadi simbol progresif dan inovasi, memberi semua yang terlibat hala tuju dan keazaman yang baharu serta membantu Selangor FC khususnya untuk fokus dan dahagakan kemenangan serta kejayaan.

“Kita tidak boleh leka dan mesti mempunyai cita-cita yang tinggi,” katanya dalam satu video dokumentari khas di Facebook Selangor FC.

Konsep stadium baharu Shah Alam itu telah diperkenalkan kepada umum yang dijangka mampu menampung kapasiti 35,000 hingga 45,000 tempat duduk dalam sesuatu masa.

Stadium itu yang dijangka siap pada 2026 dilengkapi papan skor elektronik, ruang legar mesra orang kelainan upaya (OKU), ruang korporat dan bilik persalinan.

Selain itu, stadium itu dilengkapi kawalan kelembapan dalaman, 'ETFE ceramic coating' dan sistem penyejukan tempat duduk selain mempunyai teknologi 'retractable pitch' iaitu bertukar daripada mod sukan kepada acara dalaman.

Dalam pada itu, Tengku Amir juga menyifatkan pembangunan stadium baharu itu sesuatu yang menarik untuk memberikan pengalaman berbeza kepada penyokong.

“Jika kita lihat pada tahun 80-an, 90-an dan sekitar 2000, cara orang menggunakan stadium dah berubah. Kita mahu membangunkan sebuah stadium yang boleh dinikmati oleh penyokong.

“Ia bukan sahaja semasa perlawanan 90 minit, tetapi juga semasa tempoh dua jam. Apabila sampai awal, apa penyokong boleh buat. Ada muzium, galeri, tempat makan dan tempat rehat.

“Sudah pasti, ia bukan sahaja untuk bola sepak dan merangkumi pelbagai fungsi dan penggunaan,” katanya.