'Kita masih sayangkan Zii Jia'

Laporan Sukan Sinar pada Isnin. (James Selvaraj)
Laporan Sukan Sinar pada Isnin. (James Selvaraj)
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia perlu segera mendapatkan khidmat seorang jurulatih bagi mengembalikan semula prestasinya pada tahap terbaik selepas kemerosotan sejak kebelakangan ini.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berkata, individu itu tidak semestinya bekas pemain, namun paling penting mampu mengembalikan corak permainan jaguh berusia 24 tahun tersebut.

“Ramai pihak termasuk bekas pemain begitu prihatin terhadap prestasi semasa yang sedang menimpa Zii Jia pada ketika ini, itu petanda positif bahawa kita masih sayangkan bakat Zii Jia.

“Sejujurnya masalah utama Zii Jia sekarang adalah dia sememangnya amat memerlukan seorang jurulatih untuk meningkatkan semula prestasinya pada ketika ini.

“Namun pada saya, Zii Jia sebenarnya memerlukan jurulatih berpengalaman contoh seperti Kenneth Jonassen bagi memastikan kemerosotan prestasi ini tidak terus berlarutan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sukan Sinar pada Isnin melaporkan bekas pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim bersedia untuk menjadi jurulatih Zii Jia jika perseorangan profesional negara itu memerlukan khidmatnya.

Zii Jia sebelum ini memulakan kempen 2023 dengan rentak negatif selepas terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia; Terbuka India (pusingan kedua) dan Masters Indonesia (pusingan kedua).

Sejurus tersingkir awal pada Terbuka Malaysia 2023, Zii Jia kekal dengan pendiriannya untuk bergerak solo tanpa khidmat jurulatih selepas berpisah dengan Indra Wijaya pada November tahun lalu.

Pada masa sama, James juga mengakui bahawa untuk menjadi jurulatih terbaik tidak hanya berdasarkan pengalaman sebagai pemain sebelum ini.

Sebaliknya tegas James, individu tersebut juga perlu memiliki ilmu bidang kejurulatihan yang merangkumi pelbagai aspek lain.

“Peranan jurulatih ini besar kesannya sebenarnya kerana dia akan tidak hanya mendidik dan menegur kesilapan pemainnya, tetapi juga aspek berkaitan psikologi.

“Pada masa sama penting untuk pemain dilatih itu menerima corak latihan dan teguran diberikan selain jurulatih juga perlu peka dan mengetahui elemen yang diperlukan pemainnya.

“Bekas pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei baru-baru ini menyatakan kesediaan menjadi motivator tapi bukan jurulatih kepada Zii Jia, itu petanda positif sebab ramai pihak prihatin situasi yang berlaku terhadap pemain nombor satu negara itu pada ketika ini,” katanya.