Banjir: Mangsa di Sabah meningkat, Pahang, Johor menurun

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di Jalan Bedara, Batu Pahat, Johor. - Foto ihsan APM Batu Pahat
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di Jalan Bedara, Batu Pahat, Johor. - Foto ihsan APM Batu Pahat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Sabah malam ini menyaksikan satu lagi daerah di negeri itu dilanda bencana berkenaan, dengan jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat sedikit, manakala banjir di Pahang serta Johor semakin bertambah baik.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,376 orang daripada 522 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS, berbanding 1,211 orang (471 keluarga) petang tadi, dengan Telupid menjadi daerah terbaharu terjejas mengakibatkan 95 orang daripada 26 keluarga terpaksa dipindahkan di PPS Dewan Kampung Bauto.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, Pitas mencatatkan jumlah mangsa teramai dengan 1,152 orang (450 keluarga) menghuni di dua PPS, diikuti Paitan seramai 86 orang (35 keluarga) di empat PPS dan Lahad Datu 43 orang (11 keluarga) di satu PPS.

JBPN Sabah turut menjangkakan jumlah mangsa banjir di Paitan dan Telupid akan meningkat, berikutan keadaan hujan yang masih berterusan, manakala keadaan di Pitas dan Lahad Datu pula dijangka kekal.

Di PAHANG, keadaan banjir di Rompin semakin pulih apabila dua PPS ditutup petang tadi, menjadikan hanya satu PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Denai yang masih beroperasi bagi menempatkan 27 mangsa (lapan keluarga) malam ini.

Sekretariat JPBN Pahang melaporkan dua PPS yang ditutup pada 4 petang tadi ialah Kampung Setajam dan Balai Raya Kampung Jawa, yang menempatkan jumlah mangsa banjir terakhir masing-masing 171 dan 21 orang.

Manakala, paras Sungai Keratong di Rompin masih kekal melepasi paras bahaya.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,113 orang setakat 8 malam ini berbanding 2,157 orang yang direkodkan pada 4 petang, susulan penutupan sebuah PPS.

JBPN Johor memaklumkan sebanyak 22 buah PPS masih beroperasi di daerah Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat.

Daerah Batu Pahat masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 854 orang, diikuti Mersing (823) orang, Kota Tinggi (344) dan Segamat (92), menurut kenyataan JBPN.

Mengikut ramalan cuaca, Kulai dan Kota Tinggi dijangka hujan malam ini, manakala lapan daerah lain dijangka mendung, sementara paras air Sungai Endau di Mersing pula masih merekodkan tahap bahaya dengan bacaan 2.5 meter. - Bernama