Petugas Kedutaan Azerbaijan di Iran dipindahkan

Polis mengawal Kedutaan Azerbaijan di Tehran selepas serangan bersenjata menyebabkan seorang maut manakala beberapa kakitangan kedutaan cedera. - Foto EPA
Polis mengawal Kedutaan Azerbaijan di Tehran selepas serangan bersenjata menyebabkan seorang maut manakala beberapa kakitangan kedutaan cedera. - Foto EPA
A
A
A

TEHRAN - Azerbaijan memindahkan kakitangan kedutaannya di Tehran, Iran, pada Ahad, dua hari selepas serangan bersenjata yang menyebabkan seorang maut dan mencederakan dua yang lain cedera.

Menurut media Azerbaijan, seramai 53 orang termasuk diplomat dan ahli keluarga mereka diterbangkan ke Baku dengan pesawat khas.

Pesawat yang turut membawa jasad Orkhan Askerov, ketua kakitangan keselamatan kedutaan yang terbunuh dalam serangan itu, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev, di Baku pada 10 malam waktu tempatan, lapor Agensi Anadolu.

Insiden itu berlaku pada Jumaat apabila seorang lelaki dikenali sebagai Yasin Hosseinzadeh yang bersenjatakan senapang automatik menyerbu masuk ke dalam premis kedutaan dan melepaskan tembakan.

Pemindahan itu berlaku beberapa jam selepas perbualan telefon antara Presiden Iran Ebrahim Raisi dan rakan sejawatannya dari Azerbaijan Ilham Aliyev.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Azerbaijan, Khalaf Khalafov menyifatkan Iran bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan dan perlu menanggung akibatnya, lapor media Azerbaijan.

Beliau berkata, Presiden Aliyev terpaksa membuat keputusan itu meskipun sukar.

Insiden itu telah meningkatkan ketegangan antara Iran dan Azerbaijan, dua negara jiran yang berkongsi sempadan sepanjang 765 kilometer (475 batu).

Pihak berkuasa Iran menegaskan bahawa kejadian itu bukan serangan pengganas sebaliknya ia lebih bermotifkan peribadi.

Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian yang mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Azerbaijan Jeyhun Bayramov menerusi telefon berkata Iran akan memastikan insiden itu tidak memberi "kesan buruk" kepada hubungan dua hala kedua-dua negara. - Bernama