ABIM tegaskan hak pramugari Islam bertudung

MOHD SYAHIRAN
MOHD SYAHIRAN
A
A
A

KOTA BHARU - Angkatan Belia Islam (ABIM) Kelantan menegaskan cadangan supaya membenarkan pramugari beragama Islam untuk bertudung tidak harus dipandang sepi.

Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad berkata, menjadi hak wanita muslimah yang bertugas sebagai pramugari di mana-mana syarikat penerbangan untuk memilih pakaian yang menutup aurat.

“ABIM Kelantan menegaskan isu ini penting memandangkan perkara tersebut menyentuh hak kebebasan mengamalkan ajaran agama secara aman dan harmoni.

“Perkara ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, pihaknya mengharapkan pertimbangan yang wajar daripada Kerajaan Perpaduan khususnya Kementerian Pengangkutan untuk mengemukakan satu dasar baharu berkaitan isu tersebut.

“Dasar tersebut penting bagi memastikan semua syarikat penerbangan di Malaysia memberi kelonggaran kepada pramugari untuk menutup aurat berasaskan kesesuaian yang ditetapkan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Kami di ABIM yakin terhadap kemampuan kerajaan baharu ini dalam menguruskan cadangan itu dengan baik di samping perkembangan positif pentadbiran negara ketika ini,” katanya.

Saranan pramugari dibenarkan bertudung sudah lama diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin.

Pada awal tahun ini, British Airways melakukan kejutan apabila melancarkan koleksi seragam baharu menampilkan jumpsuit yang ditempah khas serta pilihan hijab dan tunik.

Pengubahsuaian pakaian itu pertama kali dalam tempoh dua dekad untuk kru kabin terutama wanita bagi syarikat yang berpangkalan di London itu.