Tiada ruang diskriminasi dalam sistem pendidikan negara - KPM

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menjawab pertanyaan media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal pada Ahad.- Foto Bernama
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menjawab pertanyaan media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal pada Ahad.- Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Isu penganjuran bengkel Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara berasingan anjuran sebuah sekolah menengah di Johor sudah diselesaikan secara baik.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perbincangan berhubung isu tersebut sudah dilakukan dengan pihak berkaitan dan isu tersebut jelasnya tidak perlu dipanjangkan lagi

Menurutnya, buat masa ini penumpuan harus diberikan kepada peperiksaan pelajar dan mereka juga tidak seharusnya diganggu.

"Kita sudah selesaikan secara baik dan kita sudah adakan perbincangan di antara pihak berkaitan untuk tidak memanjangkan isu ini dan kita mahu tumpuan sekarang adalah kepada peperiksaan anak-anak ini," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Nibong Tebal, di sini pada Ahad.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan mana mana pihak sekiranya insiden sama berlaku lagi di masa depan.

Beliau juga menegaskan tiada ruang diskriminasi dalam sistem pendidikan negara ini dan berharap isu sedemikian tidak berlaku lagi.

Sebelum ini, tular di Twitter berkenaan satu tangkap layar dalam kumpulan WhatsApp antara ibu bapa dan kakitangan sekolah di Johor itu mengenai rasa tidak puas hati segelintir ibu bapa selepas sekolah itu didakwa mengadakan bengkel SPM secara eksklusif untuk pelajar Islamnya yang berprestasi rendah.

Susulan insiden berkenaan, KPM menjelaskan tiada isu diskriminasi dikesan membabitkan penganjuran sebuah bengkel Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran sebuah sekolah menengah di Johor baru-baru ini.

KPM menerusi kenyataan memaklumkan Bengkel Persediaan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor itu sudah lama dirancang pihak sekolah itu.