Tawan puncak Kinabalu promosi batik Selangor

Kakitangan MPSepang diketuai Abd Hamid menawan puncak Gunung Kinabalu bagi membawa misi mempromosi batik Selangor.
Kakitangan MPSepang diketuai Abd Hamid menawan puncak Gunung Kinabalu bagi membawa misi mempromosi batik Selangor.
A
A
A

SEPANG - Seramai 36 kakitangan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) diketuai Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah bagi membawa misi mempromosi batik Selangor.

MPSepang dalam satu kenyataan memaklumkan misi pendakian Gunung Kinabalu itu adalah misi kedua selepas berjaya dalam misi pertama pada 2019 bagi mempromosi Tahun Melawat Sepang.

"Misi menawan Gunung Kinabalu kali ini dalam usaha mencatat Malaysia Book of Records menerusi 'Most Participants Wearing Batik Selangor on Mount Kinabalu' pada 26 sehingga 30 Januari (Sabtu).

"Hal ini sejajar dengan usaha kerajaan negeri Selangor yang telah memperkenalkan dan mempromosikan Batik Selangor sebagai salah satu pakaian di dalam upacara atau majlis rasmi negeri," kata kenyataan pada Ahad.

Pada 1 Disember lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari melancarkan batik Selangor bercorak bunga tanjung kelopak sembilan sebagai simbolik sembilan daerah di negeri ini.

Sehubungan itu, MPSepang mengambil inisiatif ini untuk memperagakan Batik Selangor yang menampilkan rekaan bermotifkan corak bunga tanjung sekaligus mencatat rekod di dalam Malaysia Book of Records di atas puncak Gunung Kinabalu.

"Bunga tanjung menjadi identiti negeri Selangor kerana mempunyai sembilan kelopak yang mewakili sembilan daerah di negeri Selangor," menurut MPSepang dalam kenyataan.