Hadiah misteri menanti pemenang

Cabutan bertuah hanya boleh disertai oleh individu yang membuat pembelian akhbar Sinar Harian di Jualan Gudang Karangkraf 2023. (Gambar kecil: Nik Justin)
Cabutan bertuah hanya boleh disertai oleh individu yang membuat pembelian akhbar Sinar Harian di Jualan Gudang Karangkraf 2023. (Gambar kecil: Nik Justin)
A
A
A

SHAH ALAM - Pengunjung Jualan Gudang Karangkraf 2023 dan pembaca setia Sinar Harian berpeluang untuk mendapatkan hadiah lumayan dengan menyertai peraduan cabutan bertuah.

Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, ia merupakan salah satu cara untuk menghargai para pembaca Sinar Harian di samping memeriahkan jualan gudang tersebut.

“Cabutan bertuah hanya boleh disertai oleh mereka yang mengunjungi dan membuat pembelian akhbar di Jualan Gudang Karangkraf 2023 kerana menerusi pembelian di sini sahaja mereka akan diberikan borang penyertaan.

“Menariknya, sepanjang peraduan berlangsung (31 Januari sehingga 6 Februari), naskhah tersebut dijual dengan harga RM1.60 sahaja dan harga yang ditawarkan itu begitu murah jika ingin dibandingkan dengan harga pasaran terkini (RM1.80),” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambahnya lagi, pada jualan gudang hanya 100 nashkah Sinar Harian yang akan dijual pada setiap hari.

“Jadi orang ramai disarankan untuk hadir lebih awal untuk mendapatkan akhbar tersebut dan bagi mereka yang mahu meningkatkan peluang untuk merebut hadiah lumayan ini, boleh lakukan pembelian akhbar seberapa banyak yang diinginkan.

“Menerusi cabutan bertuah ini, seramai tiga orang pemenang bakal umumkan dan pemenang utama bakal membawa pulang hadiah misteri, manakala dua daripadanya akan menerima baucar tunai berjumlah RM100 daripada Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad,” ujarnya.

Orang ramai berpeluang untuk memenangi hadiah misteri dan baucar tunai berjumlah RM100 daripada MR D.I.Y.
Orang ramai berpeluang untuk memenangi hadiah misteri dan baucar tunai berjumlah RM100 daripada MR D.I.Y.

Dalam pada itu, Nik Justin berkata, sepanjang peraduan berlangsung, orang ramai juga boleh mendapatkan hadiah menarik.

“Kepada individu yang mahu mendapatkan hadiah ekskusif seperti kemeja-T, buku nota dan pelitup muka, mereka hendaklah melakukan pembelian akhbar melebihi daripada tiga naskhah dan secara tidak langsung ia meningkatkan peluang mereka untuk memenangi hadiah utama.

“Pemenang-pemenang cabutan bertuah ini akan diumumkan pada 8 Februari di akhbar dan platform media sosial Sinar Harian,” katanya.

Jelas beliau, Jualan Gudang Karangkraf 2023 bukan sahaja dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah sahaja tetapi turut diserikan dengan aktiviti-aktiviti lain.

“Antara aktiviti yang turut diadakan adalah seperti sesi bicara buku, bengkel penulisan muda, pertandingan mewarna kanak-kanak dan temu mesra bersama penulis,” jelasnya.