Persiapan UMNO Selangor hadapi PRN tidak terjejas

Kamaruzzaman
Kamaruzzaman
A
A
A

SHAH ALAM - Persiapan UMNO Selangor untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak terjejas dengan pemecatan keahlian bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Kamaruzzaman Johari berkata, ini kerana parti itu sudah melakukan persiapan awal bagi memberikan perkhidmatan dan tawaran terbaik dalam PRN Selangor kelak.

"Persediaan (UMNO) Selangor tidak terjejas dan kita ada pemimpin-pemimpin baharu malah Pengerusi UMNO Selangor (Datuk Megat Zulkarnain Omardin) sendiri adalah nama besar (dalam politik).

"Kita sudah membuat perancangan dan beberapa siri perbincangan dengan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) untuk tentukan hala tuju dan kerjasama Kerajaan Perpaduan dalam satu pasukan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang digantung keahliannya oleh parti itu selama enam tahun selepas keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Bagaimanapun kemudian Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memecat keahlian Noh selepas beliau mencabar Presiden UMNO itu supaya memecatnya terus daripada parti berbanding menggantung keahliannya.

Dalam pada itu, Kamaruzzaman berkata, Noh mempunyai penyokong sendiri namun beliau tidak dapat menentukan isu yang melanda bekas pemimpin UMNO itu akan memberi kesan atau sebaliknya kepada UMNO Selangor.

"Betul, kedudukan parti UMNO ini sudah lama, sudah tentulah (beliau) ada penyokong-penyokong tegar namun kita hanya tumpu persiapan PRN dan UMNO Selangor akan bersama-sama dengan Pakatan Harapan.

"Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada apa-apa perbincangan mengenai agihan kerusi dan perkara-perkara berkaitan bagi menghadapi PRN Selangor, kita jangka mungkin pada Februari ini," katanya.