Bikin 'ulat buku' rambang mata

Sebahagian pelajar Sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa, Kelantan yang mengadakan lawatan di Jualan Gudang Karangkraf 2023.
Sebahagian pelajar Sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa, Kelantan yang mengadakan lawatan di Jualan Gudang Karangkraf 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - Hari pertama Jualan Gudang Karangkraf 2023 pada Jumaat disambut meriah dengan peminat-peminat buku yang hadir seawal jam 9 pagi hingga 7 petang.

Suri rumah, Herny Sharmila Ayob, 47, yang datang bersama tiga orang anaknya masing-masing berusia sembilan, 13 dan 20 tahun, sanggup menempuh perjalanan selama lima jam 30 minit dari Mersing, Johor semata-mata untuk ke jualan gudang yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, mereka sekeluarga adalah penggemar buku dan dia amat menggalakkan anak-anaknya untuk membaca sertai mencintai ilmu.

Herny Sharmila Ayob bersama anaknya membelanjakan lebih RM700 untuk membeli bahan bacaan di Jualan Gudang Karangkraf 2023 pada Jumaat.
Herny Sharmila Ayob bersama anaknya membelanjakan lebih RM700 untuk membeli bahan bacaan di Jualan Gudang Karangkraf 2023 pada Jumaat.

“Sebelum ini pun setiap tahun kami sekeluarga akan hadir ke program jualan buku yang dianjurkan oleh Karangkraf.

“Kali ini saya memang berhasrat untuk datang pada hari pertama. Lagipun, Johor cuti pada hari ini (Jumaat), jadi kami gerak dari Mersing semalam (Khamis) dan tidur di hotel berhampiran.

“Kita tahu ramai orang akan datang dan beli buku di sini terutamanya secara borong, jadi saya bimbang jika datang lambat, tidak banyak pilihan yang tinggal,” katanya kepada Sinar Harian.

Herny Sharmila memberitahu, mereka membelanjakan wang lebih RM700 untuk membeli bahan bacaan di jualan gudang tersebut.

“Kami juga beli bahan bacaan untuk dihadiahkan kepada rakan dan guru anak-anak saya,” ujarnya.

Sementara itu, Nor Hazrina Kamarudin, 42, berkata, sudah masuk tahun ketujuh dia berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf.

Menurutnya, setiap kali melihat hebahan mengenai jualan tersebut di media sosial, dia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk membawa keluarga dan jiran bersama.

Kongsi pengunjung setia itu, tarikan utama jualan gudang pastinya harga yang jauh lebih murah berbanding di kedai buku lain.

Keletah pembaca cilik turut memeriahkan suasana pada hari pertama Jualan Gudang Karangkraf 2023 pada Jumaat.
Keletah pembaca cilik turut memeriahkan suasana pada hari pertama Jualan Gudang Karangkraf 2023 pada Jumaat.

“Saya selalu membawa tujuh orang anak dan jiran ke jualan gudang ini kerana teruja dengan pelbagai genre buku yang disediakan, ditambah pula dengan harga sangat berpatutan.

“Kami sekeluarga suka membaca buku. Jadi kami memang akan pergi ke semua bahagian termasuk buku kanak-kanak, buku latihan, novel, masakan, al-Quran dan sebagainya,” kata pembantu tadika itu.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Kota Kinabalu, Sabah, Asmah Jikrun, 61, meluahkan rasa syukur kerana selepas setahun, hasratnya untuk berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf tercapai.

Asmah yang secara kebetulan berada di Kajang untuk menjaga menantunya dalam tempoh berpantang teruja apabila dimaklumkan mengenai jualan tersebut sewaktu menghadiri rakaman siaran langsung My #QuranTime 2.0 di kompleks berkenaan.

“Hajat saya untuk berkunjung ke jualan gudang tercapai juga pada hari ini (Jumaat). Tahun lepas saya teringin sangat nak datang ke sini selepas melihat iklan mengenainya di Facebook.

“Alhamdulillah, kali ini berkesempatan hadir dan sebagai peminat setia program My #QuranTime, saya berpeluang membeli nota-nota yang dijual dengan harga lebih murah berbanding hari biasa,” ujarnya.

Antara pengunjung yang hadir pada hari pertama Jualan Gudang Karangkraf 2023.
Antara pengunjung yang hadir pada hari pertama Jualan Gudang Karangkraf 2023.

Pembuka tirai tahun baharu

Dalam pada itu, Penolong Pengurus Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Anis Syamila Abdul Halim memaklumkan, orang ramai mula berkunjung ke Kompleks Karangkraf, Shah Alam sebelum jam 9 pagi lagi.

Menurutnya, selain golongan dewasa, keletah pembaca cilik turut memeriahkan suasana pada hari pertama jualan.

“Sambutan amat meriah pada hari ini, kita boleh saksikan ratusan pengunjung terutamanya peminat buku yang hadir dari pelbagai negeri.

“Kebanyakannya datang bersama-sama keluarga, tidak kurang juga pelajar sekolah dan mahasiswa universiti yang berkunjung ke sini hari ini (Jumaat).

“Jualan Gudang Karangkraf membuka tirai tahun baharu kepada peminat-peminat buku. Semoga lebih ramai pengunjung dapat hadir ke jualan gudang ini dan menikmati pelbagai aktiviti serta diskaun sehingga 80 peratus,” katanya.

Jualan Gudang Karangkraf 2023 berlangsung dari 27 Januari hingga 6 Februari ini bermula dari jam 9 pagi hingga 7 petang bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.