Mangsa banjir di lima negeri meningkat

Tinjauan dari udara semasa pemantauan situasi banjir di beberapa daerah di negeri Johor pada Jumaat. - Foto Bernama
Tinjauan dari udara semasa pemantauan situasi banjir di beberapa daerah di negeri Johor pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir di lima negeri meningkat kepada 13,773 orang melibatkan 4,412 keluarga setakat jam 4 petang Jumaat berbanding 12,267 orang pada pagi.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kesemua mangsa ditempatkan di 80 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Johor, Pahang, Sabah dan Terengganu.

Di Johor, 38 PPS dibuka dalam tujuh daerah bagi menempatkan seramai 3,498 mangsa banjir yang secara keseluruhannya terdiri daripada 969 keluarga.

Sementara itu, di Pahang seramai 352 mangsa daripada 105 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Bagi Sabah pula, 37 PPS yang terletak di empat daerah menempatkan 3,294 keluarga dengan jumlah mangsa seramai 9,677 orang, manakala di Terengganu, 20 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan dalam satu PPS.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan di seluruh negara sehingga jam 7 malam Jumaat.

Situasi banjir di seluruh negara sehingga jam empat petang Jumaat.
Situasi banjir di seluruh negara sehingga jam empat petang Jumaat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 4 petang itu, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri Kedah melibatkan Kulim dan Bandar Baharu serta Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim).

Dalam pada itu, di Selangor melibatkan Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

MetMalaysia turut menjangkakan keadaan cuaca sama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin) serta Melaka.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi negeri Sarawak iaitu di Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang, manakala Sabah di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat, Tawau (Tawau, Kunak dan Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran) dan Kudat (Kota Marudu).