Pengasuh mengaku tak salah cederakan bayi

Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang bayi perempuan berusia lapan bulan. - Gambar hiasan
Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang bayi perempuan berusia lapan bulan. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang bayi perempuan berusia lapan bulan.

Siti Aqilah Shahimi, 25, didakwa menyebabkan kecederaan kepada bayi yang diasuhnya itu di sebuah rumah di Taman Limbongan Permai di sini pada 6.20 petang, 7 September lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Naim Abd Jalil mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh.

Siti Aqilah yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan rendah memandangkan tertuduh yang telah berkahwin berpendapatan RM1,800 sebagai pengasuh kanak-kanak.

Majistret Mazana Sinin membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes. - Bernama