Karangkraf sumbang buku ke SJKC Bukit Fraser

Nik Justin (tengah) bergambar dengan murid SJKC Bukit Fraser yang memegang buku sumbangan Kumpulan Karangkraf.
Nik Justin (tengah) bergambar dengan murid SJKC Bukit Fraser yang memegang buku sumbangan Kumpulan Karangkraf.
A
A
A

KUALA LANGAT - Kumpulan Karangkraf menyumbang dua kotak buku pelbagai genre bagi mengisi bahan bacaan di Pusat Sumber Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser di Telok Panglima Garang di sini.

Gimik penyerahan disampaikan oleh Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin kepada guru besar sekolah berkenaan, Chia Khai Hoon pada Jumaat.

Khai Hoon berkata, sekolah tersebut baharu beroperasi setahun lalu dan memerlukan bahan bacaan bagi membudayakan amalan membaca kepada 289 murid sekolah berkenaan.

Menurutnya, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebelum ini telah melaksanakan kempen derma buku sebagai inisiatif mengumpul koleksi bahan bacaan di sekolah tersebut.

"Setelah kempen tersebar secara meluas, ibu bapa dan komuniti setempat menyumbang buku-buku terpakai kepada pihak sekolah. Ada juga penderma terdiri daripada pihak swasta.

"Pihak sekolah menerima sebarang buku yang disumbangkan dan setakat ini kami masih meneruskan kempen tersebut.

"Selain mengisi bahan bacaan di pusat sumber sekolah, kami turut sediakan buku di sudut bacaan sekitar sekolah bagi membolehkan murid mengisi masa lapang dengan membaca pada waktu rehat atau pulang dari sekolah, " katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Buku Untuk Pusat Sumber SJKC Bukit Fraser, Telok Panglima Garang pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Sajoli Masdor; Yang Dipertua PIBG SJKC Bukit Fraser, Chew Phai Hau; Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin serta Editor Sinar Bestari, Mariatul Qatiah Zakaria.

Program sumbangan buku itu merupakan usahasama yang dijalankan oleh Kumpulan Karangkraf dengan JPN Selangor sebagai inisiatif melestari pendidikan melalui penyediaan tambahan bahan bacaan di pusat sumber sekolah yang baharu beroperasi.

Khai Hoon berkata, pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih kepada syarikat Karangkraf turut menyumbang bahan bacaan.

"Dengan adanya sumbangan buku-buku ini, saya yakin murid-murid dapat membaca pelbagai koleksi bahan bacaan.

"Pada masa sama, mana-mana pihak yang ingin menyumbang, boleh terus berhubung dengan pihak sekolah. Buat masa ini kami masih kekurangan buku cerita dalam Bahasa Melayu termasuk berunsur moral dan yang memberi pendidikan," katanya.

Sementara itu, Nik Justin berkata, Kumpulan Karangkraf sedia menambah bahan bacaan tersebut pada masa akan datang terutama membabitkan buku cerita dan aktiviti pembelajaran Bahasa Melayu.

Nik Justin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan buku kepada Khai Hoon pada Jumaat.
Nik Justin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan buku kepada Khai Hoon pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, program penyerahan buku itu adalah kali kedua diadakan pada tahun ini selepas SMK Bandar Saujana Putra.

"Program sama akan diadakan di SJKT PJS1. Kita kenal pasti tiga buah sekolah yang dimasukkan dalam siri kempen sumbangan buku daripada Kumpulan Karangkraf.

"Insya-ALLAH, program ini akan dijadikan sebagai acara tahunan dan jumlah sekolah akan ditambah pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Phai Hau berkata, pihak sekolah kini dalam usaha mengumpul dana bagi memperbanyak kelas berkonsep 'Smart Classroom' sebagai inovasi kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) sedia ada di sekolah.

"Sekolah baharu sahaja beroperasi jadi selain memerlukan buku, kami juga memerlukan sumbangan untuk mengadakan Smart Classroom bagi menarik minat murid untuk belajar.

"Kebanyakan sekolah telah mempunyai kemudahan digital ini, guru dapat sampaikan P&P dengan lebih kreatif.

"Bermula Januari, kami telah buka kempen bagi orang awam memberi sumbangan bagi tujuan tersebut, " katanya.