RMHC Malaysia bantu pendidikan 25,000 murid

Sedia peruntukan RM1.5 juta menerusi Program Pek Kembali Ke Sekolah

A
A
A

Azmir (belakang, lima dari kanan) dan Idris (belakang, enam dari kanan) bersama para tetamu jemputan serta penerima sumbangan Pek Kembali Ke Sekolah di SK (Felda) Pasir Besar, Gemas.
Azmir (belakang, lima dari kanan) dan Idris (belakang, enam dari kanan) bersama para tetamu jemputan serta penerima sumbangan Pek Kembali Ke Sekolah di SK (Felda) Pasir Besar, Gemas.



Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta bagi membantu kira-kira 25,000 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara menerusi Pek Kembali Ke Sekolah.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, merangkap Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pek ini sedang giat diagihkan secara berperingkat sebelum sesi persekolahan bermula pada Mac ini.

“Sejak tahun 2017 lagi kami aktif melaksanakan sumbangan Pek Kembali Ke Sekolah dan sehingga kini, kita telah agihkan kepada lebih 120,000 kanakkanak seluruh negara.

“Setiap pek ini mengandungi botol air, set alat tulis dan sebuah beg sekolah di mana usaha ini merupakan program teras RMHC yang merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia,”katanya.

Azmir (lima dari kanan) menyampaikan replika cek dana biaya RM15,000 daripada Yayasan Jaafar Ahmad.
Azmir (lima dari kanan) menyampaikan replika cek dana biaya RM15,000 daripada Yayasan Jaafar Ahmad.

Beliau berkata demikian selepas selesai Program Pek Kembali Ke Sekolah oleh RMHC Malaysia dan saluran dana peribadi untuk Program Felda Digital Maker Hub (FDMH): Coding & Robotic di sekolah lama beliau, Sekolah Kebangsaan (SK)(Felda) Pasir Besar, Gemas di sini pada Rabu.

Melalui majlis yang diadakan itu, seramai 260 kanak-kanak dari sekolah tersebut menerima Pek Kembali Ke Sekolah berjumlah RM26,000 secara keseluruhannya.

Pendidikan digital

Azmir (lima dari kanan) menyampaikan Pek Kembali Ke Sekolah.
Azmir (lima dari kanan) menyampaikan Pek Kembali Ke Sekolah.



Sementara itu, sekolah berkenaan turut menerima dana biaya sebanyak RM15,000 daripada Yayasan Jaafar Ahmad bagi menubuhkan Kelab Pengekodan dan Robotik di bawah program Felda Digital Maker Hub yang bertujuan untuk mentransformasi pendidikan digital di sekolah-sekolah Felda.

Yayasan ini diasaskan oleh Azmir bertujuan membantu golongan yang memerlukan di sekitar Negeri Sembilan melalui inisiatif-inisiatif bermanfaat ke arah kesejahteraan bersama.

Azmir (dua dari kanan) dan Idris (kanan) melihat demonstrasi Coding & Robotic oleh murid SK (Felda) Pasir Besar, Gemas.
Azmir (dua dari kanan) dan Idris (kanan) melihat demonstrasi Coding & Robotic oleh murid SK (Felda) Pasir Besar, Gemas.



Selain itu, nama yayasan ini diambil daripada nama bapa beliau iaitu Jaafar Ahmad yang merupakan seorang peneroka di Felda Pasir Besar di sini.

Jelas Azmir, sebagai anak peneroka Felda, beliau rasa bertanggungjawab untuk menyumbang bakti kepada anakanak Felda di sini.

“Sekolah Kebangsaan (Felda) Pasir Besar merupakan tempat saya mula menimba ilmu ketika di bangku sekolah rendah. Saya amat terhutang budi kepada guru-guru saya yang telah mendidik saya ketika itu.

Azmir mengagihkan makanan McDonald’s kepada murid SK (Felda) Pasir Besar, Gemas.
Azmir mengagihkan makanan McDonald’s kepada murid SK (Felda) Pasir Besar, Gemas.



“Sumbangan yang disampaikan hari ini merupakan hasrat saya untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan dan sebagai tanda terima kasih saya kepada sekolah yang telah membentuk jati diri saya sehingga berada ke tahap ini.

“Semoga sumbangan yang disampaikan ini mampu menyuntik semangat untuk anak-anak cilik Felda di kawasan ini, sekali gus membolehkan mereka menjadi insan yang berjaya pada masa hadapan,” jelasnya.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada Guru Besar SK (Felda) Pasir Besar, Abdul Rahim Abdullah disaksikan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh yang turut hadir pada majlis tersebut.